Jangan pernah takut untuk keseorangan. Kerana pada keseorangan itu ada padanya kesunyian. Dari sunyi itu terdengar suara hati yang dahulunya perlahan. Amati dengan cermat kerana suara dari hati itu yang dilihat tuhan. Amati dengan cermat apa yang benar kita mahukan.

Dekapilah sunyi itu. Kerana sunyi itu kita dapat berdua dengan tuhan. Menolak tepi semua urusan. Mengadu rasa hati dengan tuhan. Itu bahkan jauh lebih baik dari kau gusar mencari makhluk tempat luahan perasaan. 


Kadang-kadang hati itu dibiar bergolak. Supaya kita tahu bahawa ia masih ada. Supaya kita tahu kita hanya manusia. Supaya kita tahu hati itu kadang bukan milik kita. Ah! Perasaan itu kan rempah kehidupan. Apa erti hidup kalau hanya ada bahagia, bebas tanpa pilu sayu di hati. Apa erti hidup kalau hanya sengsara, tidak tahu ketawa nyaman dalam jiwa.

Hati itu kadang aneh, mahu ketawa saat kita menangis. Mahu menangis saat kita ketawa. Kadang bercampur baur. Bagaikan cahaya putih. Hasilnya gabungan tujuh warna. Tidak akan lengkap tanpa salah satu darinya. Begitu juga hati tidak hidup tanpa ada nya perasaan.

Maka jangan dibenci bila datang gundah. Ia datang untuk mencukupkan. Ia datang untuk melengkapkan.