"Pilih la perubatan. Nanti senang dalam keluarga kita ada doktor seorang"

Itu harapan.
Harapan seorang ibu kepada anak. Aku yakin, ramai yang memilih kerjaya ni  atas sebab dorongan ibu ayah. Walaupun kadang-kadang minat itu tidak ada ,tapi digagahkan juga. Hendak ditolak tak sanggup. Mereka bukan orang biasa. Mereka adalah ibu yang melahirkan kita, ayah yang memelihara kita. Mereka membesarkan kita sejak dari kecil sehingga dewasa. Memberi makan dan minum secukupnya. Menyediakan pelajaran selengkapnya.

Sejak dari kecil kita membesar dengan menanggung harapan. Harapan ibu ayah. Secara tidak langsung harapan ini menjadi pendorong untuk kita berjaya. Semua dilakukan kerana kita sayang mereka. Dua insan yang sangat berjasa. Walaupun kadang-kadang kita gagal. Mereka cuma tersenyum mengatakan tidak apa. Masih ada harapan. Namun jauh di sudut hati kita, kita rasa kecewa. Kecewa dengan diri sendiri. Membuat mereka berasa hampa. 

Kerana kita sayang mereka...

Namun.

Ramai yang lupa. Ada yang lebih tinggi kasihnya kepada kita. Ada yang lebih agung cintanya kepada kita.

Dia itu lah Tuhan kita...

Tuhan yang tidak pernah penat mendengar aduan hambanya. Memberi kepada kita tanpa dipinta. Mengurniakan nikmat terbesar iman dan Islam kepada kita. Malah ibu bapa kita sendiri hadiah dariNya. 
Sayangnya kepada kita sampaikan sanggup mengampunkan kita bila masa saja kita bermohon padaNya.
Menunaikan hajat kita setiap kali kita meminta kepadanya.

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran" (Al-Baqarah 2:186)

Cuma satu harapanNya. Supaya kita taat, patuh beribadah kepadaNya. Menjadi hamba kepadaNya.

Harapan yang ini ramai selalu lupa...

Saat kita beribadah kepadaNya. Cukupkah? Cukupkah ibadah yang dilakukan berbanding dengan nikmat yang diberikan. Adakah kita menjadi hamba yang cukup baik kepadaNya?
Saat kita melakukan dosa. Pernahkah kita terfikir murkanya Tuhan kita. Adakah kita berasa kecewa, kecewa kerana menghampakan Tuhan kita? Mengecewakan harapan Dia kepada kita. Adakah kita kecewa sebagai mana kita kecewa menghampakan harapan ibu bapa kita?

Kalau tidak.
Layakkah kita menerima kasihnya Dia? 
Sayangkah kita kepada Tuhan kita?

p/s: peringatan khas buat diri.